Wednesday, May 31, 2006

Kemasukan Cherie Blair hanya sekelibat masa depan Malaysia

Kemasukan Cherie Blair hanya sekelibat masa depan Malaysia

Sebagai rakyat Malaysia, saya merasa malu dan segan apabila terbaca lapuran akbar yang menyatakan bahawa sebuah syarikat Malaysia, Fawziah Holdings, mahu mengambil seorang peguam daripada England untuk mewakili mereka di Mahkamah Persekutuan dalam kes Metramac, iaitu kes yang telah menimbulkan isu alegasi korupsi terhadap seorang bekas Menteri Kewangan.

Bukankah Malaysia sudah merdeka lebih kurang 48 tahun tetapi mengapakah sifat setengah rakyat dan syarikat Malaysia mengagungkan rakyat negara bekas kolinialis kita masih tidak luput daripada hati dan minda?

Di Semenanjung Malaysia sahaja kini ada tidak kurang daripada 12,000 peguam yang berkelayakkan, di mana antara mereka ada terdapat peguam yang handal belaka bertaraf antarabangsa yang mampu mewakili, menghujah dan berlawan di dalam mana-mana kes di Mahkamah Persekutuan. Malaysia Boleh.

Mengikut lapuran akhbar Star dan Malaysiakini( 30/5/2006), peguam yang bakal dilantik jika Mahkamah kita membenarkan permohonan Fawziah Holdings tersebut bukan lain daripada isteri Perdana Menteri British, iaitu Cherie Blair (atau Cherrie Booth). Pada tahun 70an, peguam di Malaysia tentu telah bangun membantah kemasukkan peguam warga asing tetapi pada hari ini nampaknya barisan kepimpinan peguam Malaysia sudah lemah dan seolah-olah sudah tidak terdaya melawan agenda kerajaan untuk membenarkan peguam asing masuk ke Malaysia.

Pada lebih kurang tahun 1995, Kerajaan Malaysia, kerajaan Barisan Nasional, tanpa merujuk kepada rakyat Malaysia telah pergi dan menyertai Badan Niaga Dunia (World Trade Organisation [WTO]) dan telah kini terikat kepada beberapa perjanjian-perjanjian WTO tersebut.

Malaysia juga telah menandatangani berbagai Free Trade Agreement(FTA) dengan Negara-negara lain, di mana yang bakal ditandatangani tidak lama lagi adalah dengan US.

Akibat daripada tindakan melulu kerajaan Malaysia, tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada rakyat Malaysia, adalah pembukaan pasaran di Malaysia kepada semua orang dan syarikat luar negara. Perkhidmatan guaman juga terjejas, di mana tidak lama lagi peguam warga asing boleh masuk ke Malaysia bertanding dengan peguam warganegara untuk pasaran perkhidmatan guaman dan timbangtara.

Untuk menyediakan diri untuk pertandingan yang bakal mereka perlu hadapi apabila bank-bank asing mula masuk ke alaysia, bank-bank tempatan telah berusaha untuk menjadi lebih berkesan dan mempunyai daya penyaingan yang tinggi, di mana satu daripada langkah yang diambil adalah mengurangkan tenaga kerja. Beberapa tahun yang lepas, beribuan pekerja bahagian IT bank tempatan telah hilang pekerjaan mereka tetap di bank. Kini, kalau dilihat, bank di Malaysia giat ke arah otomasi di mana pekerjaan yang biasa dilakukan oleh manusia kini boleh dibuat oleh mesin. Tidak lama lagi dijangkakan bahawa beribuan rakyat pekerja bank akan kehilangan kerja.

Penswataan perkhidmatan letrik, telefon, pembinaan jalanraya, perkhidmatan kesihatan, pembentungan dan air semuanya adalah berkait rapat dengan tindakan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian WTO dan FTA tersebut, di mana mula-mula apabila penswastaan dimulakan rakyat telah ditipu dengan alas an bahawa ini akan memastikan perkhidmatan lebih efisyen dan murah tetapi kini nyata bahawa tahun demi tahun kadar bayaran semua perkhidmatan yang telah diswastakan naik dan rakyat semakin lama semakin menderita. Kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan asas kini telah melepaskan tanggungjawab mereka kepada pihak swata, di mana apa yang harus tidak dilupakan adalah bahawa kepentigan satu syarikat swasta adalah hanya keuntungan dan bukan kebajikan rakyat.

Akhirnya akibat tindakan kerajaan Malaysia yang dibuat tanpa penyelidikan menyeluruh dan tanpa pengetahuan dan persetujuan rakyat akan mengakibatkan satu situasi di mana yang kaya dan yang masih ada kerja dengan gaji lumayan dapat hidup di Malaysia tetapi yang lain akan menderita. Ramai rakyat Malaysia yang dahulu mempunyai kerja tetap dan kekal, yang terpaksa meninggalkan kerja mereka dengan menerima VSS mendapati sukar sekali mencari kerja tetap yang baru, khususnya mereka yang sudah berusia lebih daripada 35 tahun. Ramai yang lain mendapati sukar mendapat kerja tetap. Kini suami isteri terpaksa bekerja untuk menampung kehidupan keluarga mereka. Adakah ini satu cirri Negara membangun?

Tindakan kerajaan menukar daripada system pencen kepada system Kumpulan Wang Simpanan Pekerja juga akan ada padahnya kepada rakyat Malaysia. Kini faedah KWSP pun sangat rendah, dan dengan sistem boleh mengeluarkan sebahagian daripada wang simpanan hari tua, persoalannya adalah sama ada apa yang tinggal dalam akaun ‘wang simpanan hari tua’ itu akan memaadai untuk menampung kehidupan semasa kita tua nanti. Dengan kenaikan kos kehidupan tahun demi tahun, masalah Malaysia pada masa depan adalah masalah warga tua yang tidak akan mempunyai sumber kewangan yang memadai untuk hidup.

Tidak lama lagi, ramai daripada rakyat Malaysia di dalam situasi tidak boleh dapat pekerjaan, akan kemungkinan besar terpaksa menjadi buruh migran untuk menampung kehidupan dan keluarga mereka. Kerajaan Malaysia kini malangnya tidak meletakkan hak pe kerjaan tetap di Malaysia sebagai satu keutamaannya dan nampaknya hanya mementingkan kepentingan syarikat dan orang perseorangan tertentu di Malaysia.

Kedatangan Cherie Blair ke Malaysia adalah bukan satu perkara yang harus kita berasa megah tetapi satu yang kita harus takuti kerana ini hanya sekelibat masa depan Malaysia di mana mereka daripada luar negara akan masuk bertanding dalam ‘pasaran terbuka dan bebas” dengan rakyat Malaysia. Perjanjian-perjanjian yang sudah dimasuki tidak akan membolehkan Malaysia meletakkan apa-apa syarat-syarat atau halangan untuk tujuan menjaga kepentigan rakyat Malaysia.

Adakah kita akan menerima sahaja realiti masa depan ini secara senyap-senyap dengan alasan “apa boleh kita buat sekarang” kerana Malaysia sudah terikat dengan perjanjian. Atau adakah kita akan bangun sekarang dan membantah supaya kerajaan Malaysia dapat memperbetulkan kesilapan yang mereka telah lakukan setakat mana boleh supaya rakyat Malaysia tidak bakal menderita tanpa kerja tanpa sumber kehidupan di Negara kita sendiri.

Ramai yang telah protes pendirian negeri Sabah dan Sarawak yang menghalang rakyat Semenanjung masuk kerja atau berniaga di dalam negeri berkenaan, tetapi mungkin kerajaan negeri tersebut telah bertindak untuk menjaga kepentingan rakyat negeri-negeri tersebut. Kerajaan Malaysia juga seharus bertindak sedemikian untuk menjaga kepentingan rakyat Malaysia tetapi nampaknya kerajaan kini tidak mempunyai matlamat sedemikian. Pada bulan Disember 2005 di dalam mesyuarat WTO di Hong Kong, satu daripada kefahaman yang dicapai adalah bahawa semua negara akan memberhentikan subsidi kepada petani mereka dan akan mengeluarkan apa-apa halangan bahan pertanian daripada negara luar masuk. Adakah gulungan petani di Malaysia dapat hidup tanpa subsidi-subsidi kerajaan? Adakah gulungan tani kita bertanding harga dengan bahan tanian daripada negara jiran kita, Thailand? Kesan jangka panjang apabila perjanjian tersebut adalah gulungan petani kita akan lupus.

Keadaan sudah genting kerana pada masa ini pun jurang pendapatan antara sepuluh peratus terkaya dan sepuluh peratus termiskin di Malaysia adalah yang paling teruk di Asia Tengara. 10 peratus terkaya di Malaysia adalah 22.1 kali lebih kaya daripada 10 peratus termiskin, di mana secara perbandingan jurang pendapatan di Philippines adalah 16.5, Thailand 13.4, Indonesia 7.8 dan Vietnam (8.4). Harus kita juga tidak lupa bahawa Menteri Pendidikan kita telah mendedahkan lewat tahun lepas bahawa daripada 4,036 sekolah kerajaan, 794 tidak mempunyai bekalan letrik dan 1,555 tidak mempunyai tandas.

Keadaan negara kita sudah genting. Rakyat mesti bangun daripada leka mereka dan bertindak untuk menjamin masa depan mereka dan anak-anak mereka di Malaysia.

Charles Hector
31 Mei 2006

No comments: